Tiga buah Sekolah Berprestasi Tinggi telah dipilih untuk berkongsi pengalaman dengan para peserta konvensyen dalam usaha membangunkan lebih banyak SBT di seluruh negara:
1. Sekolah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur
Pembentangan telah disampaikan oleh Pengetua : Pn Latifah Bt Mahfod
Sila klik Untuk melawat SAB : http://www.sabkl.edu.my
2. SK Bandar Uda 2, Johor Bahru
Pembentangan telah disampaikan oleh Guru Besar : Pn Fuziah Bt Hj Hassan
Sila klik untuk melawat SKBU2 : http://www.skbu2jb.net/news.php
3. SK Convent Kota, Taiping .
Pembentangan telah disampaikan oleh Guru Besar : Pn Zakiah Bt Ghazali.
Sila klik untuk melawat SKCK : http://www.reocities.com/skconventkota/
KONVENSYEN GMGBM 2010
GURU BESAR PEMBINA NEGARA BANGSA
Isnin, 28 Jun 2010
MAJLIS PERASMIAN KONVENSYEN GMGBM
Majlis Perasmian Konvensyen GMGBM 2010 telah disempurnakan oleh YB Dr Hj Mohd Puad bin Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada jam 11.00 pagi di Dewan Ballroom Hotel Heritage. Majlis gilang gemilang itu telah berlangsung dengan para peserta memenuhi setiap ruang di dewan tersebut. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tuan Hj Radzi Bin Abd Jabar, Pengarah Pelajaran Perak.
Ahad, 27 Jun 2010
UCAPUTAMA YANG BERBAHAGIA TAN SRI KPPM
1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas jemputan untuk saya hadir dan seterusnya memberi Ucap Utama dalam Persidangan Perwakilan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Ke 28.
2. Melalui pengalaman sebagai pengurus sekolah saya berpendapat bahawa MGB merupakan sebuah organisasi profesional yang dapat menyatukan semua Guru Besar sekolah rendah di seluruh negara. Di samping itu melalui pelbagai aktiviti, MGB telah dapat meningkatkan tahap profesionalisme ahli-ahli dan seterusnya dapat membantu meningkatkan kualiti pendidikan. Oleh itu, peranan MGB perlu sentiasa digembeling supaya dapat diselaraskan dengan usaha yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi memastikan kualiti pendidikan meningkat sesuai dengan perubahan zaman dan cabaran globalisasi.
Sekolah Cemerlang
3. Bagi memulakan ucap utama ini, izinkan saya menjelaskan tentang istilah sekolah cemerlang yang merupakan idaman kepada semua Guru Besar. Peter Mortimore seorang professor terkemuka daripada Institute of Education, University of London telah menulis berpuluh-puluh buah buku berkaitan dengan sekolah cemerlang. Eloklah saya memberikan beberapa ciri yang boleh mewujudkan kecemerlangan sekolah.
Ciri Pertama:
Pengurus yang mempunyai hala tuju yang jelas, mengamalkan pendekatan penyertaan bersama dalam pengurusan sekolah dan mempunyai keperibadian yang dihormati serta disegani. Guru Besar sedemikian sentiasa berkongsi wawasan dan matlamat sekolah dengan guru-guru dan pelajar-pelajarnya. Mereka mempunyai semangat kekitaan dan kerjasama yang tinggi.
Ciri Kedua:
Sekolah memperlihatkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang aman, teratur dan berkesan. Fokus sekolah adalah kepada tahap prestasi pelajar. Pengajaran dan pembelajaran mempunyai hala tuju dan dilaksanakan semaksimum termungkin.
Ciri Ketiga:
Sekolah memberikan harapan yang tinggi kepada pelajarnya. Harapan ini diwar-warkan kepada pelajar dan mereka memahaminya. Pelajar sering mendapat galakkan dan pujian daripada Guru Besar dan guru-guru. Tidak ada siapa yang dikeji atau didenda secara berlebihan, semua galakkan berbentuk positif.
Ciri Keempat
Pemantauan dan pencerapan kepada guru sering dilakukan oleh Guru Besar dan Guru-guru Kanan. Sekolah juga mempunyai sistem yang baik untuk memantau kemajuan pelajar-pelajar dan mereka juga mendapat maklumat balas kemajuan yang mereka capai. Disamping itu, pelajar-pelajar diberikan tangggungjawab dan peranan untuk memajukan diri mereka sendiri.
Ciri Kelima
Sekolah mempunyai permuafakatan yang baik dengan ibubapa. Tahap penglibatan mereka sangat tinggi sama ada membantu sekolah atau membantu anak-anak mereka di rumah.
Ciri Keenam
Sekolah merupakan organisasi pembelajaran (a learning organization) iaitu seluruh kawasan sekolah menyediakan pelajar-pelajar kemudahan mendapat maklumat. Menurut Peter Mortimore sekolah cemerlang mempunyai pegetua yang sentiasa belajar untuk memperbaiki kemahiran masing-masing supaya mereka dapat memberi sumbangan kepada kemajuan sekolah. Dengan kata lain, maju mundurnya sesebuah sekolah banyak dipengaruhi oleh keupayaan pemimpin sekolah itu yang tidak lain tidak bukan ialah sang Guru Besar yang menjadi pemimpin nombor satu dalam organisasi tersebut.
Pemimpin hebat membawa perubahan besar
4. Sering dikatakan bahawa pemimpin yang mempunyai kemahiran kepimpinan yang rendah akan menjana hasil yang rendah. Sementara itu pemimpin yang cemerlang kebiasaannya akan menghasilkan kesan yang cemerlang bagi organisasinya. Pemimpin yang sedemikian akan dapat meningkatkan produktiviti, menambah baik khidmat pelanggan dan akan dapat membina tahap komitmen pekerja yang tinggi. Oleh itu setiap pemimpin mesti berusaha untuk menjadikan dirinya hebat dan sentiasa mencari jalan bagaimana kehebatan itu terus meningkat dari masa ke semasa.
Pengajaran dan pembelajaran yang efektif
5. Menggunakan pelbagai strategi dan kaedah pengajaran merupakan perkara yang dituntut untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran yang efektif. Contohnya bagi sekolah yang pencapaian pelajar agak rendah memerlukan strategi dan kaedah yang `ringan’ bagi membantu meningkatkan minat serta kefahaman pelajar. Bagi kelas yang terdiri dari pelajar yang cemerlang sudah tentu kaedah `ringan’ itu akan membosankan pelajar.
Banyak kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh digunakan oleh guru mengikut kesesuaian pencapaian pelajar di antaranya ialah :
Koperatif - perbincangan dalam kumpulan
Kolaboratif - kerjasama antara kumpulan
Pendekatan individu - tunjuk cara, bimbingan
secara personal.
Pendekatan Kumpulan - membuat peta minda, membuat
laporan
Kaedah perbincangan - mengulas keratan akhbar,
memberi pendapat
Simulasi - melakonkan sesuatu tajuk
pembelajaran
Permainan - melengkapkan silang kata
Inkuiri penemuan - mengakses internet, membuat
percubaan
Soal jawab - guru menyoal murid atau murid
menyoal guru
Ekspositori - kuliah, penerangan
Sumbangsaran - pelajar memberikan pendapat
atau idea
Kaedah ICT - belajar melalui laman web,
menggunakan ICT atau guru menyampaikan pengajaran melalui bantuan ICT
Kajian masa depan - membuat jangkaan dan
cadangan mengenai sesuatu
untuk masa hadapan
Guru Besar hendaklah sentiasa menggalakkan dan membimbing guru-guru untuk menggunakan pelbagai strategi dan kaedah pengajaran di dalam bilik darjah. Ini boleh menjadikan pengajaran guru lebih menarik dan tidak membosankan pelajar-pelajar.
Pendekatan kreatif dan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran
6. Bagi melahirkan modal insan yang cemerlang, pendekatan yang menggalakkan kreativiti dan inovatif hendaklah digalakkan. Guru-guru boleh membantu pelajar bagi melahirkan idea-idea baru melalui berfikir aras tinggi.
Pendekatan kreatif dan inovatif boleh dilakukan melalui:
P & P berbentuk alam nyata – guru menggunakan bahan nyata dan jelas semasa menyampaikan pengajaran. Bahan nyata termasuklah gambar, dokumen, bahan sebenar dan kajian tempatan. Alatan ICT sangat membantu untuk menjayakan pendekatan ini.
P & P berbentuk ICT – aplikasi ICT dalam pengajaran berlaku melalui tiga cara iaitu:
Sebagai alat penyampaian pengajaran dengan projector LCD dan komputer dengan pengisian seperti power-point, word, excel atau flash merupakan alat terpenting kaedah ini.
Sebagai alat untuk mendapatkan maklumat bahan pengajaran dalam bentuk gambar, filem, nota dan soalan.
Sebagai alat untuk menyediakan bahan pengajaran dalam bentuk menaip, membuat slaid, menyediakan soalan serta menyimpan bahan.
Mengiramakan isi pengajaran melalui kaedah choral speaking. Guru menyediakan bahan dan pelajar menghafalnya.
Melagukan isi pengajaran yang dijadikan lirik lagu dan dinyanyikan bersama oleh guru dan pelajar.
Kaedah permainan silang kata di mana isi pengajaran dijadikan jawapan teka silang kata.
Kaedah penceritaan di mana menggubah isi pengajaran ke dalam bentuk penceritaan.
Pengajaran menggunakan kaedah peta minda.
Menggunakan keratan akhbar yang berkaitan tajuk pengajaran bagi merangsang pelajar mengemukakan pendapat.
Membina Iklim Guru-Guru dan Meningkatkan Harga Diri Pelajar
7. Membina iklim bermaksud mengukuhkan hubungan yang akrab di antara guru dengan pelajar. Hubungan yang baik ini akan membolehkan berlakunya hubungan komunikasi antara guru dengan pelajar terutama yang berkait rapat dengan hal-hal pembelajaran. Hubungan yang baik ini juga akan dapat meningkatkan minat pelajar dalam sesuatu mata pelajaran. Apabila pelajar sering mendampingi guru maka pelajar-pelajar akan menjadi lebih rajin dan berminat untuk berjaya dalam mata pelajaran berkenaan.
8. Satu lagi aspek yang penting dalam pembelajaran ialah peningkatan harga diri pelajar. Harga diri sangat berkait rapat dengan keyakinan diri. Sekiranya keyakinan diri dapat dibentuk maka kesannya pelajar akan sentiasa bersikap positif dan proaktif. Sikap ini penting bagi pelajar-pelajar yang sedang menghadapi saat-saat genting terutama semasa sedang menghadapi peperiksaan. Oleh itu guru-guru hendaklah sentiasa berusaha meningkatkan harga diri pelajar semasa melaksanakan aktiviti pengajarannya.
9. Pengajaran dan pembelajaran merupakan nadi dan aktiviti utama di sekolah. Ia adalah suatu proses kompleks yang memerlukan perhatian, penilaian dan kajian yang berterusan. Oleh itu, Guru besar hendaklah sentiasa mendapat dan mengumpulkan maklumat yang lengkap tentang tahap keupayaan pengajaran guru-guru sebelum dapat memberi panduan dan bimbingan kepada mereka.
10. Sebagai pemimpin kurikulum dan kokurikulum, Guru besar adalah bertanggungjawab sepenuhnya bagi menjadikan sekolah mereka sebagai organisasi pembelajaran. Oleh itu, bagi menjayakan hasrat tersebut semua guru termasuk penolong kanan, ketua bidang dan ketua panitia mata pelajaran perlu berkongsi tanggungjawab bersama-sama Guru besar bagi mengukuhkan kepimpinan instructional di sekolah.
11. Dalam usaha mewujudkan kepimpinan instructional yang berkualiti, Guru besar serta semua guru mestilah memahami dan menghayati sepenuhnya visi dan misi sekolah. Mereka juga perlu memahami dan mengamalkan segala garis panduan, surat pekeliling dan arahan dari Kementerian Pelajaran. Di samping itu, mereka juga hendaklah mampu berkomunikasi secara berkesan dengan mana-mana warga sekolah dan mengadakan aktiviti peningkatan profesionalisme untuk semua tenaga pengajar secara berterusan sepanjang tahun.
12. Oleh itu, sebagai pemimpin kurikulum, usaha untuk meningkatkan keupayaan guru dalam menyampaikan instruction secara berkesan perlulah menjadi agenda utamanya. Dalam hal ini adalah dicadangkan beberapa tindakan yang perlu diambil, iaitu:
Guru besar hendaklah mewujudkan persekitaran pembelajaran (learning environment) sebagai agenda utama di sekolah. Persekitaran pembelajaran yang baik ini boleh meningkatkan motivasi semua warga sekolah untuk berusaha ke arah kecemerlangan akademik dan kokurikulum. Kata-kata hikmat dan ucapan bersemangat serta sebarang tindakan pihak sekolah hendaklah menjurus kearah slogan bahawa semua pelajar boleh berjaya sekiranya mereka berusaha keras dan mempunyai perancangan yang betul serta teratur.
Keberkesanan instructional memerlukan semangat kerja berpasukan di kalangan guru. Semua guru hendaklah terlibat dalam melaksanakan aktiviti ke arah kecemerlangan akademik, kokurikulum, memotivasikan pelajar dan menyediakan iklim sekolah yang selesa serta menarik.
Guru merupakan tenaga utama di sekolah, oleh itu mereka perlu sentiasa dimotivasikan dan pihak kepimpinan sekolah hendaklah memastikan guru-guru sentiasa mempunyai disiplin dan self regulation yang tinggi.
Guru besar hendaklah sentiasa peka terhadap keperluan guru terutama dalam menyediakan segala peruntukan dan kemudahan yang berkaitan dengan usaha meningkatkan prestasi dan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Guru besar hendaklah bertindak sebagai pembimbing dan pendorong yang berhemah atau intellectual leaders yang sentiasa menggalakkan kreativiti dan inovasi baru dalam pengajaran guru di bilik darjah.
Guru besar hendaklah memastikan standard dan kualiti pengajaran guru sentiasa berada di tahap yang tinggi. Penghargaan dan pengiktirafan terhadap kejayaan pelajar dan guru perlu sentiasa diperkatakan dan dihebahkan kepada semua warga sekolah. Ini boleh menimbulkan suasana berlumba-lumba dan bersaing untuk meningkatkan kebolehan dan keupayaan di kalangan semua warga sekolah.
Pada umumnya peranan, keperihatinan dan penglibatan aktif Guru besar terhadap perkara yang berkaitan dengan kurikulum dan kokurikulum di sekolah akan menjadi dorongan kepada pelajar dan guru untuk berusaha dan terlibat secara bersungguh-sungguh dalam program dan aktiviti yang disediakan di sekolah berkenaan.
Keistimewaan Diri Pelajar
13. Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan oleh guru kebiasaannya berlaku apabila guru memberi perhatian dan mengambil kira perbezaan yang ada pada diri pelajar. Perbezaan tersebut meliputi aspek kecerdasan (intelligence), emosi, stail pembelajaran, jantina dan latar belakang keluarga. Perbezaan ini sekiranya tidak diberi perhatian oleh guru boleh mempengaruhi dan membawa kesan kepada pembelajaran pelajar. Sungguhpun guru memahami perbezaan dan keistimewaan yang ada pada diri pelajar tetapi bukanlah mudah untuk memilih dan menyesuaikan bentuk pengajaran yang berbeza bagi setiap pelajarnya. Walau bagaimanapun, apa yang penting, guru hendaklah memahami perbezaan dan keistimewaan yang ada pada diri pelajar dan berusaha sebaik mungkin untuk menjadikan bilik darjah sebagai tempat yang terbaik untuk semua pelajarnya. Oleh itu, guru hendaklah sentiasa mengamalkan sifat toleransi, hormat menghormati dan saling memahami ketika melaksanakan pengajarannya di bilik darjah.
Pembelajaran
14. Berdasarkan teori, pembelajaran dikatakan telah berlaku sekiranya terdapat perubahan dan penambahan yang berterusan dari segi pengetahuan, kemahiran, sikap dan tingkah laku pelajar. Pembelajaran merupakan suatu proses kognitif yang kompleks dan adalah sukar untuk memberi definisi yang tepat. Walau bagaimanapun, pengkaji pendidikan sering membincangkan teori pembelajaran melalui tiga pendekatan iaitu behavioral, kognitif dan constructivist iaitu setiap satu mempunyai fokos dan perspektif yang berlainan.
15. Teori pembelajaran behavioral menekankan tentang pemerhatian terhadap perubahan tingkah laku, kemahiran dan kebiasaan yang dilakukan oleh pelajar. Ia menitikberatkan perubahan tingkah laku melalui pengalaman yang dilalui dan tidak mengaitkan dengan proses dalaman minda atau mental. Teori pembelajaran behavioral ini telah dimulakan oleh Skinner (1950) melalui kaedah operant conditioning, dengan menggunakan percubaan ke atas tikus bagi menerangkan bagaimana pembelajaran berbentuk behavioral itu berlaku. Kemudian munculah teori pembelajaran yang lebih mendalam iaitu melalui perspektif learning objective mastery learning, direct instruction dan basic skills.
16. Teori pembelajaran kognitif pula berkisar melalui aktiviti berfikir, mengingat, mengeluarkan idea dan menyelesaikan masalah. Bagaimana maklumat diingat dan diproses serta bagaimana pelajar menggunakan pengetahuannya bagi memproses cara berfikir merupakan penekanan kepada perspektif ini. Pemahaman tentang teori pembelajaran kognitif ini boleh membantu guru membimbing pelajarnya cara belajar dan mengingat dengan lebih berkesan iaitu menggunakan kaedah seperti mengambil nota, menghafal, mnemonics dan melalui visual.
17. Pendekatan pengajaran melalui teori kognitif ini boleh dilaksanakan melalui kaedah cognitive views of learning. Kaedah ini memerlukan guru membuat persediaan awal, menyusun fakta dan menerangkan secara jelas sesuatu terma dan konsep. Pendekatan ini juga memberi peluang kepada pelajar melaksanakan pembelajaran kendiri melalui strategi pembelajaran self-regulated. Secara umumnya penekanan kepada pendekatan kognitif berkait dengan apa yang berlaku inside the head pelajar berkenaan,
18. Sementara itu, teori pembelajaran constructivist pula dihubungkan dengan kaedah bagaimana pelajar menggunakan sesuatu peristiwa, aktiviti dan pengalaman mereka sebagai titik tolak pembelajaran yang bermakna kepada diri mereka. Pengkaji aliran constructivist ini mempercayai bahawa pelajar boleh mendapat dan menguasai sendiri ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui aktiviti tertentu. Tokoh-tokoh aliran ini ialah seperti Piaget, Bruner, Dewey dan Vygotsky. Aktiviti yang dimaksudkan adalah inquiry and problem based learning, cooperative learning, cognitive apprenticeships dan integrated school wide program. Penekanan yang diberi melalui pendekatan constructivist ini meletakkan usaha pelajar sendiri dalam menguasai pembelajaran mereka atau melalui pembelajaran yang berpusatkan pelajar dan guru dianggap sebagai pembimbing atau pemudah cara.
19. Ketiga-tiga pendekatan pembelajaran yang dinyatakan tadi mempunyai kelebihan dan kekurangannya sendiri. Walau bagaimanapun, apa yang penting ialah guru perlu memahami ketiga-tiga jenis teori tersebut supaya dapat menyesuaikan dan mengaplikasikan dalam pengajarannya. Secara umum usaha pelajar untuk memahami dan mengenali bahan (constructivist) akan membantu mereka mengingatkan perkara yang mereka fahami (congnitive-information processing) dan akhirnya mendorong mereka menghayati, mengamal dan menggunakan (behavioral) apa yang dipelajari.
Motivasi
20. Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan adalah dikaitkan juga dengan keupayaan guru untuk merangsang dan memotivasikan pelajarnya. Ada beberapa pendekatan yang boleh digunakan oleh guru untuk merangsang motivasi secara dalaman atau intrinsic motivation pelajar supaya mempunyai sikap ingin tahu (curiosity) dan merasai diri mereka berkebolehan (competent) untuk terus maju. Bagi menggalakkan motivasi di kalangan pelajar terdapat lima pendekatan yang boleh digunakan, iaitu:
Memberikan ganjaran dan insentif untuk meningkatkan motivasi pelajar dan pendekatan ini sering diamalkan oleh golongan behaviorist. Guru perlu memilih pendekatan yang sesuai digunakan di bilik darjah seperti pemberian gred, bintang, warna tertentu atau pujian dan kata-kata semangat.
Bagi golongan humanistic psychology mereka menekankan aspek kepuasan kendiri atau self-actualization dan keperluan self-determination dalam membantu meningkatkan motivasi pelajar. Mereka menyatakan bahawa adalah menjadi keperluan semula jadi bagi setiap manusia untuk memenuhi keperluan dan potensi yang sedia ada dalam diri mereka.
Ini bermakna dari perspektif humanistic cara untuk memotivasikan pelajar adalah dengan memenuhi sumber dalaman mereka seperti sense of competence, self-esteem, autonomy dan self-actualization. Untuk memahami lebih lanjut kita boleh mengambil contoh pendekatan humanistic yang diperkenalkan oleh Maslow iaitu melalui theory of self-determination. Kedua-dua teori ini menggambarkan keperluan seseorang berperingkat-peringkat seperti pyramid; selepas sesuatu keperluan dipenuhi ia memerlukan keperluan yang lebih tinggi hinggalah ke puncaknya.
Motivasi berdasarkan pendekatan yang menekankan aspek kognitif merupakan reaksi atau respon kepada perspektif behavioral. Perspektif ini menyatakan bahawa tingkah laku manusia adalah ditentukan oleh pemikiran dalam minda individu tersebut dan bukan melalui ganjaran atau denda yang diterima oleh pelajar sebelum ini. Perspektif kognitif ini menjangkakan bahawa tingkah laku manusia bukan disebabkan peristiwa luaran semata-mata tetapi lebih kepada bagaimana peristiwa tersebut diterjemahkan dalam mindanya. Ahli teori kognitif percaya bahawa pelajar bersikap aktif, ingin tahu, berusaha untuk mencari maklumat dan berusaha menyelesaikan masalah jika fokus motivasi itu datang dari faktor dalam diri dan peribadi pelajar itu sendiri.
Teori motivasi kognitif-sosial merupakan pendekatan integrasi antara aliran behavioral dan kognitif. Pengkaji-pengkaji pendidikan yang mengikuti aliran ini mengambil kira pandangan behaviorist terhadap kesan tingkah laku dan aliran cognitivist yang menekankan kesan terhadap kepercayaan dan jangkaan individu. Ahli teori kognitif-sosial percaya bahawa motivasi pelajar adalah gabungan daripada kedua-dua kuasa atau pengaruh tersebut yang membawa kepada jangkaan, harapan dan nilai yang ingin dicapai oleh pelajar itu.
Sementara itu, teori motivasi sosio-budaya pula menekankan tentang peranan yang boleh diambil oleh komuniti dan ahli keluarga untuk meningkatkan motivasi seseorang. Teori ini melihat peranan penting yang boleh dimainkan oleh ahli keluarga, ahli kumpulan tertentu dan anggota masyarakat dalam meningkatkan motivasi seseorang. Kebiasaannya pelajar mendapat dorongan dan terpengaruh dengan pengalaman bersama keluarga dan ahli komuniti.
21. Oleh itu, guru besar dan guru perlu memahami semua aspek motivasi yang dinyatakan oleh pelbagai teori sekiranya ingin melihat keberkesanan pembelajaran pelajar. Dengan kata lain, pelajar yang bermotivasi tinggi akan lebih mudah menerima pengajaran guru dan dengan sendirinya mereka akan berusaha keras untuk memenuhi matlamat diri mereka sendiri. Sesungguhnya, memotivasikan pelajar atau pelajar yang bermotivasi merupakan aspek penting yang perlu diberi keutamaan dalam pelbagai aktiviti harian di sekolah.
Pengajaran
22. Pengajaran yang berkualiti di bilik darjah merupakan sine qua non atau nadi dan nyawa kepada sekolah. Kepimpinan instructional perlu sentiasa berusaha mencari kaedah yang sesuai atau yang lebih baik bagi guru melaksanakan pengajaran mereka. Mereka boleh mendapatkan sokongan daripada guru senior dan guru berpengalaman bagi membimbing dan membantu guru baru. Pengajaran yang berkesan mestilah berbentuk kreatif, menarik, tersusun dan mempunyai perancangan yang baik. Ianya akan memberi peluang kepada pelajar untuk belajar secara flexible dan menggunakan sepenuhnya kreativiti mereka sendiri. Suasana riang, ceria, hormat-menghormati dan saling mempercayai antara guru dengan pelajar akan dapat membantu meningkatkan keberkesanan pengajaran.
23. Secara umumnya tidak ada modul pengajaran yang terbaik yang boleh dicontohi oleh semua guru kerana pengajaran guru akan dipengarui oleh berbagai aspek seperti suasana bilik darjah, latar belakang pelajar dan matlamat pengajaran yang berbeza. Walau bagaimanapun, melalui pengalaman, guru akan dapat meningkatkan kualiti pengajaran mereka dengan menyediakan perancangan pengajaran yang teliti, mengkaji latar belakang pelajar dan memahami dengan jelas matlamat pengajarannya.
24. Guru yang cemerlang dan berkesan mesti sentiasa kelihatan ceria, berminat dengan tugas dan suka kepada pengajarannya. Ini akan dapat menarik minat dan perhatian pelajar untuk mengikuti pengajarannya. Walau bagaimanapun, guru juga mesti berpengalaman dan berkemahiran dalam subjek yang diajarnya, teliti dalam pengajaran dan mempunyai hala tuju yang jelas.
25. Pengajaran yang berkesan juga memerlukan guru yang bersikap sebagai pembimbing, penyokong, penunjuk ajar, perangsang semangat dan penggalak kepada pembelajaran kendiri pelajar. Dengan memahami proses pengajaran dan pembelajaran yang kompleks, dijangkakan guru berupaya meningkatkan kualiti pengajarannya bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
Pembelajaran
26. Pembelajaran adalah berhubung kait dengan bagaimana pelajar menggunakan pengetahuan, kemahiran dan kaedah tertentu untuk melakukan aktiiti mendapatkan pengetahuan dan kemahiran. Pembelajaran yang berkesan kebiasaannya akan dipengaruhi oleh beberapa factor seperti faktor guru, mata pelajaran, persekitaran, iklim dan budaya sekolah.
27. Sebagaimana aspek pengajaran, tidak ada satu kaedah yang betul dan tepat boleh digunakan sepenuhnya oleh semua pelajar untuk aktiviti pembelajaran. Golongan behaviorist menyatakan bahawa pembelajaran berkesan dapat dilihat melalui peningkatan pengetahuan, sikap dan tingkah laku pelajar. Sementara golongan kognitif menfokuskan peningkatan pengetahuan kepada usaha ke arah mewujudkan aktiviti dalam mental seperti berfikir dengan baik, mengingat, menghafal dan berupaya menyelesaikan masalah. Bagi golongan constructivist pula, kejayaan pembelajaran dilihat melalui berbagai-bagai aktiviti yang berbentuk pembinaan pengetahuan atau construction of knowledge yang boleh dilakukan oleh pelajar sendiri.
28. Guru besar dan guru perlu memahami teori pembelajaran kerana ianya berkait rapat dengan usaha peningkatan aspek instructional. Teori ini akan menjelaskan bagaimana proses pembelajaran berlaku dan seterusnya mencari kaedah yang sesuai untuk menjadikan pembelajaran tersebut berkesan untuk pelajar. Segala ilmu pengetahuan dan kemahiran akan dapat dikuasasi dengan baik sekiranya pelajar dapat menggunakan kaedah pembelajaran yang berkesan. Oleh itu aspek pembelajaran pelajar sama pentingnya dengan pengajaran guru; kedua-dua diperlukan bagi melancar dan memudahkan penyampaian ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang baik.
Kesimpulan
29. Peranan Guru besar sebagai pemimpin instructional sangat penting bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran pelajar. Oleh itu, kefahaman mereka terhadap tori pengajaran dan pembelajaran akan member keyakinan kepada Guru besar untuk membimbing, memandu dan menyokong usaha guru dalam melaksanakan pengajaran yang berkesan. Sebagai peneraju utama di sekolah, Guru besar perlu melengkapkan diri dengan pendekatan, teknik dan ilmu terkini aspek pengajaran dan pembelajaran supaya dapat dicurahkan kepada guru dan pelajar di sekolah mereka. Melalui program dan aktiviti yang berbentuk keilmuan dan perkembangan staf akan dapat meningkatkan keupayaan sekolah sebagai organisasi pembelajaran.
30. Akhir sekali, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Ahli Jawatankuasa Persidangan Perwakilan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Ke 28 (MGB) kerana berjaya menganjurkan Persidangan Kali ini dengan cemerlang dan saya juga berdoa semoga semua Guru Besar yang merupakan pemimpin sekolah akan terus tabah berusaha meningkatkan prestasi sekolah kearah kecemerlangan dan seterusnya melahirkan modal insan yang cemerlang.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD DOM
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
23 Jun 2010
Khamis, 3 Jun 2010
MGB PERAK : MENGORAK PERUBAHAN
Pada konvensyen GMGB Malaysia kali ini MGB Perak sebagai tuan rumah akan mengorak perubahan dimana semua aktiviti terkini dan siaran maklumat akan dibuat secara atas talian (online) dimana tiga orang Ahli Jawatankuasa Kecil Pengurusan Teknikal dan Komputer yang diketuai oleh Dr. Saparudin bin Ahmad (MGB Kinta Utara) akan memberikan lintas langsung melalui laman blog rasmi Konvensyen GMGB Malaysia kali ini.
Semua aktiviti terkini akan dimuatkan secepat mungkin oleh AJK beliau, pihak yang ingin mendapatkan gambar-gambar dan rakaman aktiviti bolehlah terus memuat turun dari laman ini. Semoga semua usaha akan berjalan dengan lancar.
Sila layari laman ini untuk mendapatkan maklumat terkini semasa konvensyen sedang berjalan nanti.
Semua aktiviti terkini akan dimuatkan secepat mungkin oleh AJK beliau, pihak yang ingin mendapatkan gambar-gambar dan rakaman aktiviti bolehlah terus memuat turun dari laman ini. Semoga semua usaha akan berjalan dengan lancar.
Sila layari laman ini untuk mendapatkan maklumat terkini semasa konvensyen sedang berjalan nanti.
Selasa, 18 Mei 2010
KONVENSYEN PENDIDIKAN GURU BESAR MALAYSIA KE 16 DAN PERSIDANGAN PERWAKILAN KEBANGSAAN KE 28
TEMA
Guru Besar Pembina Negara Bangsa
PENGENALAN
Majlis Guru Besar Perak mendukung cita-cita menjadikan Konvensyen Pendidikan Guru Besar Malaysia Ke 16 dan Persidangan Kebangsaan ke 28 sebagai suntikan hala tuju yang menganjak paradigma Guru Besar agar sederap dan seirama menyemarakkan kembali semangat kerja berkualiti selaras dengan kehendak serta peredaran masa dalam usaha membantu Kementerian Pelajaran Malaysia dan negara mencapai misi nasional iaitu pembangunan modal insan berminda kelas pertama.
RASIONAL
Sejajar dengan perkembangan dan perubahan terkini dunia pendidikan, insan kelas pertama merupakan aset yang terpenting bagi menjana negara Malaysia. Justeru, Guru Besar sebagai pemimpin pendidikan di sekolah rendah merupakan penjana yang menentukan hala tuju kejayaan nilai intelek dan budaya modal insan kelas pertama.
OBJEKTIF
Memeperlengkapkan Guru Besar dengan ilmu dan idea untuk menjadi pemimpin dan pentadbir kelas pertama.
Mempertingkatkan kredibiliti dan akauntabiliti Guru Besar sebagai pengurus dan pemimpin yang berkualiti.
Mempertingkatkan kompetensi berimpak tinggi Guru Besar.
Menambahbaik pembangunan profesionalisme Guru Besar bagi menjana insan kelas pertama.
Guru Besar Pembina Negara Bangsa
PENGENALAN
Majlis Guru Besar Perak mendukung cita-cita menjadikan Konvensyen Pendidikan Guru Besar Malaysia Ke 16 dan Persidangan Kebangsaan ke 28 sebagai suntikan hala tuju yang menganjak paradigma Guru Besar agar sederap dan seirama menyemarakkan kembali semangat kerja berkualiti selaras dengan kehendak serta peredaran masa dalam usaha membantu Kementerian Pelajaran Malaysia dan negara mencapai misi nasional iaitu pembangunan modal insan berminda kelas pertama.
RASIONAL
Sejajar dengan perkembangan dan perubahan terkini dunia pendidikan, insan kelas pertama merupakan aset yang terpenting bagi menjana negara Malaysia. Justeru, Guru Besar sebagai pemimpin pendidikan di sekolah rendah merupakan penjana yang menentukan hala tuju kejayaan nilai intelek dan budaya modal insan kelas pertama.
OBJEKTIF
Memeperlengkapkan Guru Besar dengan ilmu dan idea untuk menjadi pemimpin dan pentadbir kelas pertama.
Mempertingkatkan kredibiliti dan akauntabiliti Guru Besar sebagai pengurus dan pemimpin yang berkualiti.
Mempertingkatkan kompetensi berimpak tinggi Guru Besar.
Menambahbaik pembangunan profesionalisme Guru Besar bagi menjana insan kelas pertama.
Langgan:
Catatan (Atom)